Tuesday, January 12, 2010

Pelajar Terdedah Kepada Bahan Khayal Dan Lucah

PETALING JAYA, 12 Jan (Bernama) -- Lambakan pil dan serbuk khayal murah, bahan bacaan berunsur seks dan lucah serta pil perangsang seks masih didapati dijual secara terbuka kepada pelajar sekolah menengah dan belia di sekitar ibu negara, menurut Persatuan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPA).

Presiden MCPA, Ravi Ponnan berkata berdasarkan pemantaun pertubuhan bukan kerajaan itu, cakera padat lucah, pemetik api dan kad permainan daun terup yang memaparkan imej wanita separuh bogel turut dijual.

"Kesemua barangan ini dan juga alat renjatan elektrik dan pistol mainan berkualiti tinggi juga boleh didapati dengan mudah dan murah di pasar-pasar awam dan kedai runcit," katanya dalam satu sidang media.

Ravi berkata sebagai contoh, sejenis ubat khayal buatan India yang didakwanya boleh menyebabkan kanser boleh didapati dengan harga 60 sen di pasar malam, kedai runcit dan juga restoran mamak.

"Ia berupa serbuk kasar yang merupakan campuran pinang dan tembakau. Meskipun ianya bukan dadah namun ia boleh memberi efek khayal selepas 15 minit memakannya, malahan di India serbuk ini diharamkan.

"Ubat ini menjadi tarikan kepada pelajar sekolah memandangkan harganya yang amat murah. Pelajar-pelajar ini menipu guru dan ibu bapa dengan mengatakan kononnya ianya adalah ubat sakit kepala sedangkan mereka sudah ketagih ubat tersebut," kata Ravi.

Hasil pemantauan yang dijalankan oleh NGO itu sejak November lepas turut mendapati ramai pekerja asing yang bekerja di negara ini terutamanya di restoran dan premis cucian kereta mengambil bahan terlarang itu.

"Kami juga membuat pemantauan di pasar awam berhampiran Kampung Baru dan setelah tiga kali memujuk penjual, kami berjaya membeli dua buah alat renjatan elektrik yang berharga RM70 dan RM80 setiap satu yang berbentuk telefon bimbit dan lampu suluh," katanya.

Beliau berkata MCPA bersedia untuk menyalurkan segala maklumat kepada pihak berkuasa malahan ia telah menghantar maklumat tentang isu jenayah kepada beberapa agensi kerajaan termasuk polis, Imigresen, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Jabatan Pengangkutan Jalan, Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Kesihatan.



-- BERNAMA

No comments: