Thursday, September 22, 2005

Pesta liar di PD

 


Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin
anbia@hmetro.com.my

KUALA LUMPUR: Satu sindiket penipuan dikesan mencipta laman web lucah Melayu terbaru untuk meraih keuntungan ‘atas angin’ dengan mengumpan pesta seks eksklusif bersama model dan artis sekiranya menjadi ahli berbayar laman itu.

Setiap ahli dikehendaki membayar RM60 menggunakan kad prabayar telefon bimbit bagi melayakkan mereka menyertai pesta seks beramai-ramai di Port Dickson, pada 31 Disember depan sempena sambutan Tahun Baru 2006.

Selain itu, ahli atau ejen yang mengumpul mata tertinggi ditawarkan hadiah percutian ‘seks’ bersama ‘Ratu Seks Melayu’ dan gadis tertentu yang disediakan khas pengasas laman web berkenaan.
Ahli yang berjaya mempromosi atau menarik penyertaan rakan lain pula ditawarkan mata bonus yang melayakkan mereka membuat `temu janji seks’ dengan model lucah Melayu terkenal, ‘Babyrina’ dan rakannya di hotel lima bintang di ibu kota.

Penemuan laman web lucah terbaru itu dianggap memeranjatkan apabila ia didakwa lebih ‘panas’ berbanding beberapa laman web lucah Melayu terdahulu seperti ‘Melayu Boleh’, ‘Seks Melayu’, ‘Melayu Telanjang’ dan ‘Skandal Melayu’ yang sudah ditutup.

Kewujudan laman web lucah Melayu terbaru yang mula dikesan beberapa minggu lalu, menyajikan pelbagai segmen khas mencakupi galeri gambar dan video artis Melayu berbogel, koleksi beratus gambar bogel model dan remaja tanah air serta himpunan nukilan cerita lucah.

Antara artis tempatan yang diaibkan melalui teknik potong dan tampal atau pertindihan (super impose) dan dipaparkan pada laman web berkenaan ialah Linda Rafar, Nasha Aziz, Fazura, Ning Baizura, Umie Aida, Abby, Azza dan Sasha Elite, Misha Omar, Marsha AF3, Erra Fazira dan berpuluh lagi artis lain.

Selain itu, ahli laman web terbabit turut ditawarkan keistimewaan untuk bersembang seks melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) dengan berpuluh gadis ‘hangat’ yang disediakan.

Bagaimanapun, nombor telefon bimbit gadis remaja yang didakwa gemar membalas SMS lucah terbabit hanya akan diberikan kepada ahli berdaftar.

Siasatan Harian Metro mendapati, orang ramai yang ingin menjadi ahli laman web lucah itu disyaratkan membeli kad tambah nilai prabayar berharga RM50 sebelum diarah mengikut syarat ditetapkan.

Penganjur laman web terbabit mendakwa tambah nilai prabayar itu akan digunakan bagi membolehkan gadis seks menghubungi ahli selain disalurkan kepada tabung pemulihan pelacur tempatan.

Setiap ahli baru yang berdaftar akan diberi peluang menyertai cabutan bertuah untuk ‘bermalam liar’ bersama model lucah Melayu, Babyrina dan gadis misteri yang pernah menjadi model iklan syampu pada 28 Oktober depan.

Selain itu, pengasas laman web lucah terbabit turut cuba menarik perhatian ahli supaya menjadi ejen promosi halaman web lucah itu yang menawarkan pelbagai habuan menarik.

Setiap ejen yang berjaya mengutip 20 mata akan menerima keahlian laman lucah itu secara percuma.

Antara hadiah ‘hebat’ ditawarkan ialah cabutan bertuah untuk pesta dan temujanji seks jika mengumpul 20 mata, percutian seks di Langkawi bagi kutipan 1,000 mata, percutian seks di Sydney, Australia (5,000 mata) dan percutian seks di New York bersama artis misteri (10,000 mata).

Selain itu, ahli laman web itu diberi keistimewaan melakukan muat turun berpuluh-puluh video adegan seks yang disediakan dalam laman lucah terbabit.

Segala kerja licik mengumpul dan mendapatkan visual lucah terbabit didakwa dilakukan `wartawan’ laman web itu yang mempunyai hubungan baik dengan industri hiburan.

Selain itu, wartawan misteri itu didakwa bekerjasama dengan pakar multimedia untuk memasang kamera litar tertutup (CCTV) di kedudukan strategik di tandas dan bilik hotel di ibu kota untuk merakam perlakuan seks bagi tontonan ahli berdaftar.

Mereka dikatakan turut menjadikan gadis muda yang ingin menjadi glamor dengan sanggup membuka pakaian sebagai mangsa.

Sementara itu, Penyelaras Projek Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Noor Nirwandy Mat Noordin, menyelar kewujudan laman web lucah Melayu terbabit yang didakwa mula menarik minat golongan belia termasuk pelajar.

Menurutnya, pihaknya menerima sekurang-kurangnya 15 aduan daripada orang ramai berhubung laman web lucah terbabit termasuk ibu bapa dan guru sekolah.

“Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi perlu memantau perkembangan tidak sihat ini dan menghentikannya dengan segera.

“Saya yakin, pengasas laman web menjadikan gambar lucah yang dikumpul daripada pelbagai sumber sebagai umpan untuk meraih keuntungan mudah selain menawarkan seks bebas sebagai tarikan paling utama kepada ahli baru,” katanya.

Menurutnya, ramai remaja sekolah terpengaruh dengan keseronokan seks ditawarkan dan tidak mustahil cuba untuk menjadi ahli.
Note: Sumber Harian Metro.